Thursday, 18 August 2016

PENGGUNAAN BAHASA ROJAK

                          


DEFINISI

Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Misalnya Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris.
Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa rojak dapat dikesan apabila sebuah entrepot antarabangsa didirikan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Pelabuhan ini telah menarik ramai pedagang dari pelbagai bangsa dan budaya yang secara keseluruhannya bertutur lebih daripada 80 bahasa. Oleh itu, pedagang dunia dan penduduk tempatan sudah biasa menggunapakai pelbagai bahasa dalam satu pertuturan .

ISU PENGGUNAAN BAHASA ROJAK

Bahasa rojak digunakan secara meluas terutamanya dalam kalangan remaja bandar di Malaysia,sekaligus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Kerajaan memutuskan bagi melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutamanya dalam sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan bahasa rojak. Antara isu-isu penggunaan bahasa rojak :
·                     TV3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh disebabkan oleh kebimbangan orang ramai.
·                     Menurut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, nama-nama jalan di Putrajaya seharusnya berpandukan kepada istilah-istilah warisan negara dan bukan menggunakan nama-nama barat seperti Precinct,Boulevard dan Parcel.
·                     Majalah komik seperti majalah Ujang dan Apo menggunakan perkataan atau frasa yang ditulis dalam bahasa rojak.
·                     Trend penggunaan bahasa rojak sebagai sebahagian kata-kata seharian kita. Contohnya ialah “dorang”, "kitorang", “glamour”, “line-up”, perkataan Melayu yang direka-reka, dipendekkan ataupun kata-kata yang diambil daripada bahasa asing.


GOLONGAN YANG MENGGUNAKAN BAHASA ROJAK
Image result for BAHASA ROJAK

Ingin ditekankan di sini, isu bahasa rojak ini banyak dialami oleh golongan remaja khususnya. Penggunaan bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Golongan ini sering mengggunakan menggunakan bahasa rojak ketika mereka berbual bersama rakan dan keluarga. 

Contoh penggunaan bahasa rojak dalam kalangan remaja:
• “I pergi shopping la hari ni..”
• “Boring betul lah kuliah tadi tu,”
• “Aku tension betul dengan dia hari ni,”


Selain itu,masalah ini turut terjadi kepada golongan remaja dari kaum yang lain seperti remaja Cina. Rata-rata remaja Cina masih tidak boleh berbahasa Melayu dengan lebih baik walaupun bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan negara ini. 


“Satu contoh, belia dan remaja Cina rata-rata tidak boleh berbahasa Melayu sepenuhnya dengan baik sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita. Buktinya,terdapat jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara mendapati tidak semua namun sebilangan kecil pelajar berusia 18 tahun tidak boleh berbahasa Melayu dengan sempurna langsung,”-Felo Penyelidikan Utama,Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),Profesor Dr Teo Kok Seong.


Namun masalah yang sama turut dialami oleh golongan dewasa,khususnya ibu bapa. Perbualan bersama anak-anak di rumah dan bersama rakan di tempat kerja juga turut diselitkan dengan penggunaan bahasa rojak. Contohnya: 

• “Tak masuk office ke?”
• “Ayah busy sikit,tak boleh jemput kamu,”

Penggunaan bahasa rojak semakin menjadi isu yang hangat di negara ini. Diharapkan pelbagai pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah bahasa yang kurang sihat ini.

PUNCA BAHASA ROJAK

·                     Punca utama penggunaan bahasa rojak ialah sikap penutur sendiri.Hal ini kerana sikap penutur yang ingin menonjolkan kehebatannya dengan menguasai satu bahasa lagi.Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam bahasa Inggeris yang sebenar.Oleh sebab itu, mereka akan cuba melatih kemahiran berbahasa Inggeris terutamanya para pelajar sekolah luar bandar. Mereka akan cuba menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian meskipun tidak mempunyai kemahiran.

·                     Selain itu, penggunaan bahasa dalam media cetak dan elektronik turut menyumbang kepada permasalahan ini. Hal ini disebabkan kebanyakan dalam media sama ada media cetak mahupun media elektronik tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.Malah golongan yang terkenal dan terpelajar tidak terkecuali menggunakan bahasa rojak. Hal ini menunjukkan bangsa Malaysia lebih bangga bertutur dalam bahasa yang bercampuran berbanding daripada menggunakan bahasa Melayu yang betul.

·                                              Penggunaan bahasa rojak pada papan tanda dan iklanKita dapat melihat deretan papan tanda mahupun papan- papan iklan di seluruh pelusuk negara yang secara jelas telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu. Contohnya, di plaza tol lebuhraya terdapat papan tanda yang menggunakan bahasa rojak yang berbunyi,“Lorong Touch n Go”.

·                                             Penggunaan bahasa rojak dalam internet dan pertuturan seharianDewasa ini, sekiranya kita singkap laman di internet terutamanya laman ‛e-mail’ dan chat’ kita mungkin terperanjat jika melihat betapa ramainya pengunjung di laman itu yang menggunakan bahasa rojak. Perkataan–perkataan seperti sorry sangat (minta maaf sangat) , sangat tired (sangat letih) sering kali digunapakai oleh pengunjung di laman internet dan dalam pertuturan seharian mereka.



KEBAIKAN BAHASA ROJAK

Antara kebaikan lain bahasa rojak ialah:
·                     Bahasa rojak juga merupakan sesuatu yang boleh dianggap seni dan menyerlahkan lagi "kebolehan" rakyat Malaysia. (Kreatif)
·                     Bahasa rojak juga boleh menjadi medan mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat di sesuatu negara contohnya di Jerman. (sumber: Jia Jin Foomelalui artikel"Bahasa rojak is part of Malaysian identity",2010)
·                     Menyemai semangat 1 Malaysia. (Tontoni video yang disediakan)


KEBURUKAN BAHASA ROJAK

Image result for BAHASA ROJAK

Impak-impak peggunaan bahasa rojak yang lain ialah:

- Menurunkan kedudukan bahasa Melayu dan seterusnya negara memiliki bangsa yang gagal berkomunikasi dengan baik.
- Menjejaskan keberkesanan komunikasi dalam masyarakat sekaligus menimbulkan salah faham.
- Mutu penguasaan bahasa Melayu terus merosot dan lemah serta terhakis, hal ini akan memberi kesan kepada bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang, dan budaya.
- Menjejaskan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah yang mendatangkan kesan negatif dalam jangka masa panjang.
- Penghayatan terhadap bahasa Melayu semakin berkurang. Bahasa Melayu adalah warisan karya yang menandai ketinggian pemikiran dan estetika bangsa kita.


 LANGKAH-LANGKAH PENGGUNAAN BAHASA ROJAK

Pihak yang paling berwajib dalam membendung fenomena ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP), Kementerian Pelajaran,Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Semua pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif dengan duduk semeja dan berbincang mengenai isu ini. Bekas Ketua Pengarah DBP,Datuk A.Aziz Deraman memberitahu bahawa Akta DBP yang dipinda perlu mengatasi kuasa akta-akta yang lain. Hal ini bertujuan mengenakan tindakan undang-undang atas mereka yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain serta menggunakan bahasa kebangsaan dengan cara yang salah. Kerajaan sewajarnya memberikan penekanan yang lebih serius dalam menangani permasalahan ini.

Selain itu,ibu bapa perlu menerapkan budaya penggunaan bahasa Melayu yang betul terhadap anak-anak.Hal ini perlu dilakukan dari peringkat awal iaitu semasa anak-anak masih kecil. Penggunaan bahasa Melayu yang betul daripada ibu bapa akan dapat mengelak penggunaan bahasa rojak dalam kalangan anak-anak daripada terus berleluasa. Keadaan ini dapat ditafsirkan melalui pepatah melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya".Oleh itu,bahasa Melayu yang betul tanpa dirojak dapat diterapkan terhadap anak-anak melalui peranan ibu bapa.

KESIMPULAN

Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan generasi muda sudah menjadi gaya hidup ‘wajib’ bagi mereka untuk membuktikan bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa. Sebaliknya, individu yang menggunakan bahasa Melayu baku dianggap sebagai skema dan ketinggalan zaman. Justeru, bagi menghalang bahasa Melayu daripada terus dipengaruhi unsur luar secara melulu, para pemimpin dan pendidik perlulah terus memupuk generasi muda dengan memberi bimbingan dan teladan kepada mereka agar sikap menghargai bahasa rasmi negara ini dapat berterusan. Istilah    "Jangan lupa diri", sering didengar di kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia. Istilah ini merupakan satu frasa yang menyatakan bahawa seseorang itu harus ingat akan asal-usul diri mereka dan nenek moyang mereka, sekalipun ia bersifat perkauman.

No comments:

Post a Comment